
KUCHING: Seramai 1,000 wanita sekitar bandar raya ini memperoleh manfaat menerusi Program Wanita Bangkit@KPWKM yang bertujuan untuk membantu wanita menjana pendapatan melalui bidang keusahawanan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif tersebut bertujuan memperkasakan wanita di seluruh negara terutamanya yang hilang pendapatan, pencari nafkah utama dan ibu tunggal melalui latihan dan sokongan untuk memulakan perniagaan sehingga mampu berdikari dari segi ekonomi.
Selain itu katanya, inisiatif ini juga dilaksanakan menggunakan pendekatan bimbingan dan kaunseling serta pendidikan psikologi daripada Kaunselor Berdaftar Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bagi meningkatkan jati diri peserta.
“Ia adalah program rintis bagi golongan wanita yang ingin mula menjana pendapatan melalui perniagaan kecil-kecilan dari rumah mahu pun secara e-dagang.
“Peserta akan dipantau oleh YKN selepas enam bulan dan dinilai perkembangan perniagaan untuk peserta yang bersesuaian dirujuk kepada agensi kerajaan yang berkaitan seperti Insken, Tekun, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan sebagainya bagi mendapatkan bantuan skim keusahawanan untuk memperluaskan pasaran perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program Wanita Bangkit @ KPWKM di Dewan Majma Tunku Abd Halim Muadzam Shah, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nancy berkata, seramai 16,620 wanita telah mendapat manfaat bantuan MyKasih Kapital dan menjalankan perniagaan yang mereka ceburi sejak ia mula dilancarkan.
Beliau berkata, peserta yang mengikuti kursus dan menerima bantuan modal perniagaan MyKasih Kapital telah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan seperti jualan makanan bermasak, makanan sejuk beku, jualan produk kecantikan, jualan pakaian dan ada diantaranya memulakan perniagaan dengan menjadi ejen dropship dan hanya perlu bekerja dari rumah.
“Melalui pemantauan yang dijalankan selepas enam bulan, daripada 14,770 peserta, 90 peratus peserta telah meningkatkan pendapatan dari RM500 hingga RM1,000 sebulan manakala 10 peratus lagi telah mendapat peningkatan sehingga RM3,000 sebulan,” jelasnya.
Justeru katanya, beliau menyeru peserta-peserta program ini dapat membantu wanita lain mungkin dengan memberi peluang pekerjaan ataupun melalui perkongsian ilmu sesama sendiri.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr. Maxiah Che Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN Nordina Haron.
