10,000 lagi menunggu keputusan saringan, 80 peratus pejabat swasta dibuka….Tolong henti pergerakan: Clarence Ting

SIBU: Pada hari ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, lebih daripada 80 peratus pejabat swasta dibuka hari ini.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh mendedahkan demikian ketika melakukan pemantauannya pada hari ketiga PKP dilaksanakan.
“Daripada jumlah kereta di kawasan komersial Jalan Wong King Huo, nampaknya kebanyakan pejabat dibuka lebih banyak hari ini.
“Pada hari ketiga PKP di Sibu, rasanya ia lebih sibuk daripada dua hari PKP sebelum ini.
“Saya tidak akan terkejut jika lebih ramai yang turun bekerja walaupun bukan dalam sektor penting,” ujarnya sebentar tadi.

TIADA KESEDARAN…Antara pejabat-pejabat swasta di kawasan komersil di Jalan Wong King Huo yang masih membenarkan operasinya dibuka.

Ting bagaimanapun menegaskan bahawa PKP bertujuan untuk menghentikan pergerakan orang ramai yang menjurus untuk berkumpul.
Menurut beliau, salah satu tempat paling berbahaya untuk dikunjungi adalah perhimpunan atau berkumpul membabitkan kakitangan pejabat.
“Anda tidak tahu ke mana pergerakan rakan sekerja anda pada hujung minggu lalu.
“Saya menggesa semua majikan untuk berfikir semula atau mempertimbangkan keputusan untuk membuka pejabat.
“Masih banyak yang kita tidak diketahui mengenai wabak ini di Sibu,” tegas beliau.
PERIKSA…Ting ketika melakukan pemantauan sendiri di kawasan komersil di Jalan Wong King Huo.

Rentetan itu, beliau menjelaskan bahawa PKP kali ini berbeza dengan PKP pada 18 Mac tahun lalu di mana Sibu mengalami penularan jangkitan Covid-19 yang kurang pada masa tersebut.
Namun PKP kali ini, beliau memberitahu Sibu berada di zon merah dan mempunyai Kluster Pasai yang menular dengan besar.
“Dengan lebih daripada 10,000 ujian saringan Covid-19 yang masih menunggu keputusan, saya amat tertanya-tanya bagaimana seseorang merasa selamat bekerja di ruang tertutup pejabat.
Sementara itu, beliau melihat kepatuhan yang baik dari kedai di tingkat bawah di pusat komersial tersebut,” katanya.