10,000 rakyat Palestin tinggalkan kediaman di Gaza

ANKARA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, menganggarkan kira-kira 10,000 rakyat Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Gaza.

Tindakan itu diambil berikutan ketegangan di tengah-tengah serangan oleh pihak Israel.

“Mereka berlindung di sekolah, masjid dan tempat lain ketika pandemik global COVID-19 dengan akses air, makanan, kebersihan dan perkhidmatan kesihatan yang terhad,” lapor agensi Anadolu yang memetik kenyataan Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan.

“Hospital dan akses air serta perkhidmatan sanitasi turut bergantung kepada elektrik, bahan bakar yang akan kehabisan pada Ahad,” tambah kenyataan itu.

Menurut Pejabat PBB, pihak berkuasa Israel dan beberapa kumpulan Palestin mesti segera mengizinkan PBB serta rakan kemanusiaan untuk membawa bahan bakar, makanan dan bekalan perubatan termasuk mengerahkan aktivis kemanusiaan.

“Semua pihak harus sentiasa mematuhi undang-undang kemanusiaan serta hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.

Pejabat PBB turut mengulangi gesaan Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres, supaya meredakan ketegangan di Gaza dan Israel.

Menurut agensi Anadolu, sekurang-kurangnya 122 warga Palestin termasuk 31 kanak-kanak dan 20 wanita terbunuh termasuk mencederakan 900 orang yang lain, dalam serangan Israel ke atas Gaza.

Israel terus menyasarkan Gaza dengan bedilan sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan kediaman.

Setakat ini, sembilan rakyat Israel terbunuh dan lapan daripada mereka maut dalam serangan roket termasuk seorang tentera mati selepas jip dinaikinya meletup ditembak peluru antikereta kebal.

Ketegangan semakin meningkat di daerah Sheikh Jarram di Baitulmaqdis Timur sejak sebulan lalu, ketika warga Israel berkerumun susulan satu perintah mahkamah untuk mengusir keluarga Palestin di kawasan terbabit.

Rakyat Palestin bertindak memprotes penduduk Sheikh Jarrah yang menjadi sasaran dan diancam pengusiran oleh tentera Israel. – BERNAMA

Suara Sarawak