
KUCHING: Seramai kira-kira 10,000 peserta dari seluruh Kuching mengikuti acara berjalan kaki ‘The Mayor’s Walk 2022’ anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini, hari ini.
Acara dimulakan seawal jam 6.30 pagi dengan pemanasan badan menerusi tarian zumba oleh pihak penganjur di perkarangan bangunan utama MBKS sebelum memulakan aktiviti berjalan sejauh tiga kilometer.
Setelah itu, peserta-peserta diarahkan berkumpul di garisan pemula yang terletak di laluan masuk utama MBKS sebelum acara secara rasmi dilancarkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Hui Kian.
Aktiviti berjalan kaki itu menyaksikan peserta akan berjalan merentasi Jalan Padungan ke Jalan Tan Sri Datuk William Tan ke lorong Goh Meng Teck di Jalan Sekama sebelum berpatah balik ke garisan pemula semula.
Dr Sim merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga mengambil peluang untuk menyertai bersama acara itu sehingga ke garisan penamat.
Turut mengiringi beliau, Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng dan timbalannya, Hilmy Othman termasuk kaunselor-kaunselor MBKS.
Majlis sejurus selepas itu turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan empat buah basikal lipat serta beberapa barangan elektrik ditaja oleh Go-Beyond Enterprise.
Mayor Walk adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat kepada masyarakat awam.
Pada 2019, acara ini merekodkan seramai 11,768 peserta berdaftar sebelum ditunda dua tahun selepas itu akibat pandemik Covid-19.