10,001 projek rakyat

KUCHING: Sebanyak 216 atau 69 peratus daripada 311 projek transformasi luar bandar (RTP) berjaya disiapkan sehingga Disember tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Jaul Samion berkata, RTP ialah inisiatif Kerajaan Sarawak yang berpusatkan rakyat untuk mempercepat pembangunan luar bandar.

“Antaranya ialah sekolah, kesihatan, jalan raya, air, elektrik, rangkaian jalur lebar dan tebatan banjir.

“Oleh itu, kita akan terus memperhebat usaha untuk mengenal pasti dan mencadangkan lebih banyak projek yang memenuhi jangkaan rakyat di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di BCCK, semalam.

Tambah Jaul, Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk melaksanakan 10,001 projek berpusatkan rakyat di Sarawak bagi tempoh tahun 2015 hingga 2019.

“Maka, sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 7,222 projek atau 72 peratus berjaya disiapkan.

“Malah, saya amat gembira apa-bila penjawat awam memainkan peranan signifikan bagi memastikan projek terbabit siap mengikut jadualnya,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu, sebanyak 1,445 projek yang dibiayai Kerajaan Negeri diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dari 2016 hingga 2020.

“Menerusi Belanjawan 2020 sahaja, Ketua Menteri memperuntukkan RM9.9 bilion apabila RM6.6 bilion daripadanya ialah perbelanjaan pembangunan.

“Tahun 2020 adalah terakhir dalam RMK-11 apabila kita menyasarkan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” ujarnya.

Katanya lagi, ekoran itu, amat penting bagi agensi pelaksana bertindak dengan cepat bagi memastikan rancangan disiapkan mengikut jadual.

Seramai 5,000 penjawat awam Kerajaan Negeri dan Persekutuan hadir pada majlis tersebut.