Mengapa tergesa-gesa?

Mengundi adalah hak setiap rakyat yang telah mencapai umur dewasa dalam sesebuah negara.

Konvensyen lama menetapkan seseorang itu menjadi dewasa apabila berumur 21 tahun. Malaysia kini mahu menurunkan umur kedewasaan kepada 18 tahun bagi membolehkan mereka mengundi. Pindaan kepada Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan telah dikemukakan pada Khamis, 4 Julai lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk bacaan kali pertama. Perbahasan di peringkat jawatankuasa akan dilakukan pada 16 Julai ini.

Pindaan ini memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 148 daripada 222 ahli parlimen untuk diluluskan. PH kini mempunyai 139 ahli dan memerlukan sokongan sembilan ahli parlimen lagi. Pindaan ini sudah pasti mendapat sokongan apabila Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyatakan ahli-ahli parlimen Gabungan Parti Sarawak akan menyokongnya.

Kelulusan Pindaan

Kelulusan pindaan ini bererti individu berumur 18 tahun boleh mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15. Penurunan umur mengundi ini sudah lama diamalkan oleh kebanyakan negara. Lebih 40 tahun lalu, negara-negara lain telah menurunkan umur mengundi ini.

Apakah BN gusar dengan pindaan ini sehingga meletakkan syarat bagi menyokongnya? Blok pembangkang, BN dan PAS, menggariskan dua perkara untuk menyokong pindaan perlembagaan ini. Pertama, pendaftaran pengundi secara automatik. Perkara ini tidak menjadi isu. Dalam Janji 17, PH menyuratkan kesediaannya untuk melaksanakan pendaftaran automatik berdasarkan daftar Jabatan Pendaftaran Negara.

Syarat kedua ialah pembangkang mahu Perkara 47, Perlembagaan Persekutuan turut dipinda. Pindaan ini untuk menurunkan had umur menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun, seiring dengan pindaan Perkara 119(1).

Persoalan timbul mengapa RUU pindaan perlembagaan ini mesti diluluskan dalam Mesyuarat Kedua Parlimen ke-14, 2019? cara undang-undang dikemukakan, dibahaskan dan diluluskan dalam Parlimen Malaysia tidak berubah dari zaman BN dan kini era Pakatan Harapan.

Amalan di negara ini memerihalkan bahawa undang-undang mesti diluluskan dalam sidang yang sama. Apakah tidak boleh boleh RUU dibentang dalam mesyuarat ini dan dibahaskan dalam Mesyuarat Ketiga, Parlimen ke-14 yang dijadualkan bersidang dari 7 Oktober 5 Disember?

Tindakan Tergesa-gesa

Mengapakah masih ada keperluan sesuatu RUU diluluskan dengan tergesa-gesa? Kita seolah-olah tidak mahu mendapat maklum balas daripada orang ramai tentang RUU yang telah dibentangkan di parlimen.

Kalau dalam zaman BN, semua RUU diluluskan dalam sidang yang sama. Semasa BN memerintah, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 telah dibentang, dibahas dan diluluskan dalam mesyuarat parlimen yang sama. Akta ini telah diwartakan dalam Warta Kerajaan pada 11 April 2018, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Sebelum itu, RUU itu telah diluluskan oleh Dewan Negara pada 3 April.

Walaupun semasa RUU itu dibentangkan terdapat banyak bantahan daripada pelbagai pihak termasuk pengamal undang-undang, namun kerajaan ketika itu bertindak mempercepatkan kelulusannya. Kelulusan segera itu dilihat oleh kebanyakan pihak sebagai persiapan kerajaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Sebagai kerajaan Malaysia baharu yang mahu membuat anjakan paradigma dalam pemerintahan negara, PH masih lagi terikut-ikut dengan konvensyen BN menggubal undang-undang. Kelulusan RUU untuk meminda umur mengundi kepada 18 tahun, bersifat bipartisan seperti kata Syed Saddiq. Dengan kata lain, RUU tidak mempunyai agenda politik.

PH sepatutnya membolehkan rakyat memberi maklum balas kepada semua RUU. Maklum balas boleh dikutip dengan menangguhkan perbahasan RUU ini ke mesyuarat ketiga. Pandangan pemuda-pemudi dalam lingkungan umur 18 tahun boleh dikumpul dalam memperhalusi RUU dan membuat penambahbaikan lain yang perlu.

Apakah belia berumur dalam lingkungan 18 tahun mahu diberikan kuasa ini? Apakah implikasi kuasa ini diberikan kepada kelompok umur ini? Apakah literasi politik perlu didedahkan kepada mereka sebelum diberikan kuasa ini? Apakah masalah dalam melaksanakan pendaftaran automatik pengundi? Apakah perlu diwajibkan pengundi mengundi setiap kali PRU diadakan? Pelbagai soalan boleh dikemukakan dan dikumpul dalam memperbaiki sesuatu RUU.

Dengan cara ini, demokrasi benar-benar dilaksanakan dan bukan sekadar dilihat dilaksanakan. Sebarang kelemahan dalam sesuatu RUU dibaiki sebelum dibahaskan di dewan oleh ahli-ahli parlimen dilantik. Dengan cara ini, suara pelbagai pihak, khususnya kelompok minoriti boleh diketengahkan.

Pandangan Semua Pihak

Amalan mendapatkan maklum balas bukannya amalan baharu di negara ini. Semasa BN memerintah, satu RUU yang digubal selepas mendapat maklum balas pelbagai pihak ialah Belanjawan Negara. Pelbagai pihak dijemput untuk memberi pandangan mereka sebelum kerajaan menggubal belanjawan. Walaupun kata akhir terletak di tangan kerajaan yang memerintah, tetapi sekurang-kurangnya semua pihak boleh menyuarakan pandangan.

Apakah terdapat tangan ghaib yang mahu RUU ini diluluskan segera? Apakah hubung kait pindaan ini dengan pilihan raya negeri Sarawak yang bakal diadakan? Apakah pemuda-pemudi berumur 18 tahun memberi kelebihan kepada parti tertentu dalam PRU?

Apakah pengundi muda boleh dikelompokkan dalam golongan anti-establishment? Tony Blair, bekas Perdana Menteri Britain pernah berkata, “There’s a huge wave of anti-establishment feeling. There’s an enormous amount of anger. And it’s collapsing governments and political movements across the world right now.”

Yang pasti, undi orang muda memberikan kemenangan kepada PH dalam PRU lalu.

• Prof. Madya Dr Mus Chairil Samani ialah penganalisa media dan pensyarah di Program Komunikasi Strategik, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.