Ekonomi negara terjejas andai Sarawak muflis

KUCHING: “Itu adalah kenyataan seorang ahli politik yang tidak mempunyai idea untuk menguruskan kewangan negara,” kata Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee.

Kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun akan datang merupakan kenyataan yang menggambarkan nya tidak mempunyai idea untuk menguruskan kewangan negara.

Tambahnya, Menteri Kewangan harus memberi lebih tumpuan kepada tugasnya sebagai menteri dan bukannya masih berfikir seperti pembangkang.

Menurut beliau, ia merupakan pertama kali mendengar negeri bakal jatuh bankrap setelah berpuluh-puluh tahun mengeluarkan hasil yang banyak seperti Sarawak. Hasil Sarawak banyak dikeluarkan untuk membangunkan negara seperti Malaysia.

“Kita jarang menggunakan perkataan bankrap atau muflis bagi negeri kerana Sarawak adalah sebahagian daripada negeri di Malaysia,” tambahnya lagi.

Baginya sekiranya Sarawak boleh muflis, ekonomi negara akan turut terjejas teruk kerana Kementerian Kewangan gagal melaksanakan tugasnya untuk membantu krisis kewangan negeri di Malaysia.

Adalah tidak adil bagi Sarawak sekiranya pendapatan Sarawak tidak diberikan sama rata untuk pembangunan di Malaysia kerana hasil Sarawak banyak diberikan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan negara.

“Sebagai rakyat Sarawak, sudah tentu kita tidak mahu negeri kita bankrap dan mundur dari segi pembangunan,” ujar Pesuruhjaya Pas Sarawak itu.

Beliau turut menjelaskan mereka tidak bergantung kepada siapa yang akan menguasai negara ini kerana kebajikan dan kemakmuran tetap diberi keutamaan dan tidak mudah bermain politik untuk mengejar kepentingan mereka sendiri.

Hal ini kerana rakyat memerlukan kerajaan yang stabil dan adil untuk semua tanpa menghiraukan fahaman dan permainan politik sepanjang masa. Kebajikan rakyat dan kepentingan rakyat akan terabai sekiranya permainan politik seperti ini berterusan.

“Rakyat telah memilih kerajaan baharu… jadi kerajaan baharu harus lebih baik daripada kerajaan sebelumnya,” kata Jofri lagi.

Justeru, kerajaan perlu mengurangkan permainan politik dan fokus pada tugas menjadi menteri untuk memberi kebajikan kepada rakyat, kerjasama Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan harus diberi keutamaan demi untuk kebaikan rakyat.