Anwar puji perpaduan rakyat Sarawak

KUCHING: Sikap saling menghormati dan penuh persefahaman antara pelbagai kaum menjadikan Sarawak satu-satunya negeri memiliki sifat perpaduan yang sangat tinggi.

Ini diakui oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah memuji sikap hormat menghormati dan persefahaman antara etnik serta budaya yang pelbagai menjadi rahsia orang Sarawak dapat meraikan perayaan dengan penuh harmoni.

“Idea PKR Sarawak menganjurkan program meraikan sambutan Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri harus dijadikan satu tradisi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Rumah Terbuka Semarak Aidilfitri dan Gawai Dayak PKR Peringkat Negeri di sini semalam.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya Baru Bian merangkap Pengerusi PKR Sarawak menjelaskan, program itu merupakan satu inisiatif mengeratkan silaturahim dalam kalangan pemimpin dan masyarakat khususnya di Sarawak.

“Kepelbagaian bangsa dan agama kita di Malaysia merupakan satu budaya unik dan perlu diraikan.

“Musim perayaan ini merupakan wadah penyatuan rakyat berbilang kaum daripada semua latar belakang,” katanya. Tambahnya, terlalu mudah termakan hasutan orang luar untuk mempertahankan semangat keharmonian.

“Saya tahu hari ini ramai yang datang dari jauh, perjalanan ke sini bukan satu perjalanan mudah kerana jalan rosak akibat pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

“Sebagai menteri bertanggungjawab, saya berharap pembinaan jalan tersebut apabila siap nanti dapat memudahkan perjalanan seluruh negeri ini,” jelasnya.

Turut diadakan ialah acara memotong kek sempena sambutan Hari Bapa. Hadir sama ialah Setiausaha Agung PKR merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar dan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

Suara Sarawak