Persaingan suami isteri punca bercerai

DALAT: Data Jabatan Statistik Negara menunjukkan jumlah perceraian meningkat 3.2 peratus daripada 51,642 pada 2016 kepada 49,965 pada 2017 dan individu yang berumur antara 30 dan 34 mencatatkan bilangan kes perceraian tertinggi.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, masalah kewangan menjadi punca utama perceraian dalam kalangan rakyat bukan Islam di negara kita.

“Berdasarkan statistik, 6,901 kes perceraian dalam kalangan bukan Islam yang direkodkan tahun lalu, 2,971 adalah disebabkan masalah kewangan. Faktor ini juga boleh menyebabkan penderaan kanak-kanak.

“Sebab lain ialah kekurangan persefahaman, kerjaya, curang, tidak bertanggungjawab dan penglibatan dalam undang-undang, selain kes perceraian dan kualiti perkahwinan yang rendah berlaku kerana konflik antara tuntutan kerja dan keluarga,” katanya berucap dalam Majlis Perasmian Kursus Perkahwinan Daerah Dalat di Dewan Masyarakat Dalat, kelmarin.

Bagaimanapun katanya, dalam sesetengah keadaan isteri kini semakin sibuk dengan kerjaya sekali gus menyebabkan sesetengah suami merasa dia harus bersaing dengan kerja istrinya untuk mendapatkan perhatian isteri.

“Penyelidikan menunjukkan risiko marah dan perceraian perkahwinan adalah paling tinggi dalam perkahwinan. Risiko ini meningkat apabila pasangan itu mempunyai anak,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) di bawah Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Masyarakat, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak dengan kerjasama Alpha Malaysia Sarawak menjalankan Kursus Perkahwinan Bagi Masyarakat sejak 2014.

“Sebanyak 18 Kursus Perkahwinan kita jalankan dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Cina dengan jumlah 829 peserta.

“Sejak 2018, empat Kursus Perkahwinan dianjurkan di luar Kuching satu kursus berbahasa Inggeris telah dijalankan di Bintulu, dua Kursus Perkahwinan di Kota Samarahan dan satu di Dalat pada 16 hingga 17 Februari tahun ini,” ujarnya.

Tambah beliau perhubungan harmoni seumur hidup tidak berlaku secara kebetulan kerana ia memerlukan usaha dan dedikasi yang tinggi.

“Oleh itu, saya ingin memuji semua pasangan yang setia mengikuti kursus ini selama dua hari bagi menguatkan perkahwinan masing-masing dan sehingga kini di seluruh Sarawak 21 pasangan termasuk tiga individu menyertai kursus ini.

“Dalam kursus ini, terdapat empat pelajaran yang sangat penting dan kritikal iaitu Komunikasi Berkesan, Menyelesaikan Konflik, Kuasa Pengampunan, dan Cinta Dalam Tindakan,” katanya.

Beliau berharap Sarawak akan menjadi model iaitu kadar perceraian dan penyakit sosial akan dikurangkan ke tahap yang sangat minimum.