Sultan Selangor pengerusikan mesyuarat Majlis Raja-Raja

KUCHING: Hari Kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-254 di Istana Negara semalam menyaksikan mesyuarat dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Turut hadir ialah Raja-raja Melayu kecuali Kelantan yang diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra manakala Pahang diwakili Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Raja-raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang di-Pertua Negeri diiringi Ketua-ketua Menteri.

Selain Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, mesyuarat turut disertai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Melaka dan Sabah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan kemudian memaklumkan mesyuarat telah dipersembahkan dengan taklimat mengenai pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Soal keselamatan negara pula diperjelas oleh Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Turut dibincangkan ialah mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya dan hakim-hakim mahkamah atasan.

Perbincangan pada hari kedua itu turut menyentuh mengenai pelantikan Timbalan Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, pelantikan ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran serta perkara mengenai agama Islam.