Bina Rumah Dayak di Mukah

MUKAH: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Mukah bercadang membangunkan Rumah Dayak Mukah bernilai RM5 juta berdekatan Bangunan Pehin Setia Raja Mukah untuk kekuatan kaum Dayak di sini.

Pengerusinya Francis Atan berkata, dengan adanya bangunan itu kelak masyarakat Dayak di sini dapat lebih bersatu terutama ketika menjalankan aktiviti.

“Dengan adanya bangunan ini kelak, diharapkan memberikan kemudahan kepada masyarakat Dayak untuk mesyuarat, kursus serta tempat menginap sementara.

“Kini kita sedang berusaha mengumpul dana untuk membina Rumah Dayak Mukah,” katanya dalam Majlis Makan Malam Gawai Dayak SDNU Cawangan Mukah di sini, semalam.

Menurut Francis, pihaknya kni turut berusaha berusaha mencari sebidang tanah untuk dijadikan tanah perkuburan.

“Kita memohon tanah perkuburan disediakan bagi kemudahan masyarakat Dayak. Kini, tanah perkuburan terdekat adalah di tengah-tengah perjalanan antara Mukah dan Selangau,” tambahnya lagi.

Francis turut mencadangkan pelantikan temenggong dan pemanca turut melibatkan masyarakat Dayak.