Penduduk resah jalan berlubang

SARATOK: Penduduk tempatan menunggu penuh harapan agar jalan utama menuju ke Kampung Kupang dekat sini segera dinaik taraf.

Keadaan jalan yang tidak banyak berubah terus menyebabkan kesengsaraan pengguna khususnya penduduk Kampung Kupang dan beberapa buah rumah panjang di sepanjang laluan tersebut.

Sehingga kini belum ada tanda-tanda dan usaha untuk memperbaiki jalan raya tersebut.

Oleh itu, pengguna sudah cukup bersabar menunggu jalan tersebut diturap. Ini kerana tiada laluan lain yang boleh digunakan untuk ke pekan berdekatan (Saratok) atau destinasi lain.

Suara Sarawak yang dimaklumkan oleh penduduk di situ meninjau keadaan jalan raya tersebut.

Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Latifah Mahdir memberitahu, jalan tersebut merupakan laluan keluar utama bagi penduduk Kampung Kupang dan beberapa buah rumah panjang.

“Beginilah jalan yang kami lalui setiap hari. Ia kelihatan semakin rosak (berlubang).

“Sebagai penduduk, saya amat mengharapkan ihsan pihak kerajaan supaya ada inisiatif untuk menyelenggara dan menaik taraf jalan tersebut secepat mungkin.

“Dahulu ada berita yang ia akan diturap sepenuhnya tetapi masih belum ada sebarang tindakan.

“Kami akui, jalan raya ini mesti dibaik pulih… banyak lubang besar serta dalam. Malah sekiranya hujan, keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.

Jalan utama menuju ke Kampung Kupang tersebut hanya sekitar 20 kilometer dari Simpang Bajau (Jalan Utama Saratok- Betong). Separuh daripadanya sudah diturap.

Sementara itu bagi Ramli Duat, keadaan jalan sedemikian rupa turut menyebabkan masa perjalanan semakin panjang.

“Kami tidak boleh laju kerana terpaksa memandu dengan cermat lebih-lebih lagi bagi kenderaan yang rendah.

“Tidak hairanlah kami menghabiskan masa sekitar satu jam untuk ke Simpang Bajau walaupun jarak perjalanan hanya 20 kilometer.

“Sebab itu kami penduduk Kampung Kupang dan beberapa penghuni rumah panjang di sini memohon perhatian segera pihak bertanggungjawab untuk melihat perkara ini dengan lebih serius.

“Kami percaya kerajaan sedia ada cukup prihatin dengan keperluan dan kehendak rakyat khususnya dalam penyediaan kemudaan asas seperti jalan raya yang baik.

“Bantulah kami dan dengarilah rintihan suara-suara yang sentiasa menyokong kerajaan selama ini,” katanya.