Pemandu bas bawa anak tentera ditahan kerana mabuk

KOTA SAMARAHAN: Empat pelajar cedera ringan selepas terjun dari sebuah bas untuk menyelamatkan diri daripada pemandu bas yang dalam keadaan mabuk.

Kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 8 pagi tadi, dipercayai berpunca dari pemandu bas berkenaan yang membawa seramai 33 orang pelajar yang terdiri daripada anak-anak anggota tentera.

Pelajar terbabit terdiri daripada 26 orang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Mohd Musa dan tujuh orang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan.

Mengesahkan kejadian, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata bas dari arah Kem Muara Tuang yang dipandu lelaki tempatan berusia 58 tahun itu sepatutnya menghantar semua pelajar terbabit ke sekolah.

Bagaimanapun, katanya apabila sampai di sekolah, pemandu berkenaan tidak perasan yang semua penumpang tidak turun dari bas.

“Dia kemudian terus membawa bas ke Jalan Mambong dan apabila sampai di Bulatan Medan Universiti, empat daripada kanak-kanak terbabit bertindak terjun dari bas untuk menyelamatkan diri kerana curiga dengan keadaan pemandu bas yang dalam keadaan mabuk.

“Mereka mengalami luka di tangan dan kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah pelajar lain kemudian dihantar ke sekolah masing-masing menggunakan bas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan diiringi anggota trafik.

Dalam pada itu, Alexson menjelaskan pemandu bas terbabit adalah orang awam dan bukannya anggota tentera.

Manakala bas yang digunakan juga bukan milik tentera tetapi disewa untuk tujuan menghantar anak-anak tentera ke sekolah setiap hari.

Justeru, katanya lelaki itu telah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata ujian air kencing dan darah turut dijalankan terhadap suspek untuk menentukan kandungan alkohol dan dadah.