KUCHING: Seramai 10,458 orang polis dan Pasukan Geraan Am (PGA) serta pasangan akan mengundi awal esok, bagi Pilihan raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12).
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata sebanyak 85 pusat mengundi awal dengan 111 saluran akan dibuka dari jam 7.30 pagi sehingga 5 petang.
“Pusat mengundi awal ini adalah terdiri daripada dewan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta di rumah-rumah Persatuan Keluarga Polis di IPD (Perkep), pusat-pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat dan juga di sekolah-sekolah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara bagi undi pos, Mancha berkata jumlah permohonan bagi PDRM adaah seramai 1,200 orang.
Katanya daripada jumlah tersebut, sebanyak 705 permohonan undi pos telah diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Manakala, beliau berkata sebanyak 492 permohonan tidak diluluskan dan mereka akan hadir untuk undi awal.
“Pecahan undi pos bagi 705 orang tersebut ialah 415 orang dari Sarawak, Sabah (85 orang) dan Semenanjung Malaysia (208 orang),” katanya.
Mancha menjelaskan sebab-sebab permohonan undi pos bagi PDRM Sarawak adalah pegawai yang bertugas di lain-lain kontinjen tetapi masih berdaftar undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Selain itu, katanya melibatkan pegawai yang akan bertugas sebagai bantuan sumber manusia di daerah-daerah yang jauh dari pusat mereka mengundi semasa hari mengundi (faktor jarak).
Dalam pada itu, Mancha berkata seramai 5,522 orang petugas polis akan ditugaskan dalam hari mengundi awal berkenaan.
Pada masa sama, beliau berkata pihak polis juga telah menempatkan petugas bagi setiap lokasi mengundi awal.
“Setiap saluran mengundi awal akan dijaga oleh pihak polis.
“Setiap zon pula telah dilantik seorang pegawai yang khusus untuk memastikan keselamatan dan perjalanan hari mengundi awal berjalan lancar dan teratur,” katanya.