KUCHING: Seramai 11 individu ditangkap menerusi Op Dadu disyaki terlibat dalam kegiatan judi dalam talian dan loteri haram.
Tangkapan dibuat oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerusi 10 serbuan di kawasan pentadbiran Balai Polis Gita pada 28 hingga 29 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah Berkata, suspek yang ditangkap terdiri daripada lima orang lelaki warga tempatan, lima orang lelaki warga asing dan seorang perempuan warga asing.

“Kesemua suspek yang ditangkap berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun.
“Serbuan turut merampas wang tunai sebanyak RM2,296 serta 11 unit telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru beliau berkata, sebanyak sembilan kertas siasatan telah dibuka, lapan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu perjudian dalam talian.

Sementara, satu kes dibuka di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu perjudian loteri awam tanpa lesen.