KUCHING: Sebanyak 11 kompaun dikeluarkan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri ke-12(PRN-12) Sarawak yang bermula 6 Disember sehingga semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, ia membabitkan sejumlah RM36,000 nilai kompaun dengan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Ia melibatkan empat kompaun terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (tiga), bebas (satu), Parti Demokratik Progresif (PDP) (satu) dan dua kompaun bukan parti,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Aidi berkata, polis telah menerima 185 laporan polis pada 6 Disember sehingga semalam dan telah membuka 71 kertas siasatan.
Katanya, antara kesalahan terbanyak dilaporkan iaitu Seksyen 427 Kanun Keseksaan membabitkan khianat dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan membabitkan fitnah serta Seksyen 233(1) AKMM 1988 iaitu menggunakan media sosial untuk menyebar berita palsu.
Dalam pada itu, katanya, polis akan membuat pemantauan secara berterusan sehingga hari membuang undi (esok) dan mengambil tindakan sekiranya terdapat individu yang masih berkempen selepas tempoh jam 12 tengah malam.
Tegasnya, polis akan mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa sahaja yang cuba mengganggu gugat ketenteraman awam semasa hari mengundi esok.