11 migran maut bot karam di Turki

ISTANBUL: Sebelas migran asing termasuk lapan kanak-kanak, maut selepas bot yang dinaiki terbalik di pantai barat Turki, lapor agensi berita Anadolu.

Bot itu karam di laut berhampiran bandar Cesme, iaitu destinasi popular pelancong di barat Turki yang bertentangan dengan pulau Chios, Greek kata Anadolu sambil menambah lapan yang lain berjaya diselamatkan.

Bagaimanapun, kewarganegaraan mangsa belum dikenal pasti. Insiden itu berlaku sejam selepas bot lain turut dilaporkan karam di Aegean berhampiran dengan pulau Paxi, Greek yang mengorbankan sekurang-kurangnya 12 jiwa.

Turki menjadi salah satu tumpuan utama bagi migran asing dan pelarian, majoritinya warga Syria dan merupakan negara transit yang penting bagi mereka yang melarikan diri daripada konflik untuk tiba ke Eropah menerusi Greece.

Perjanjian yang dicapai pada Mac 2016 antara Ankara dengan EU bagaimanapun berjaya mengurangkan jumlah ketibaan migran di lima pulau yang paling dekat dengan Turki.

Suara Sarawak