11 projek bernilai RM735 juta sedang dilaksana di Limbang

LIMBANG: Pengerusi Majlis Penasihat PH, Tun Daim Zainuddin kagum dan memuji projek-projek pembangunan yang dijalankan di Sarawak, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Dalam pertemuan empat mata pada minggu lalu, Tun Daim menyifatkan pembangunan sedang berlangsung di negeri ini secara tersusun dan terancang.

“Ia sangat bermakna kepada kita apabila Tun Daim memberi komen berkaitan cara kita mengurus pembangunan ekonomi negeri ini,” tambahnya lagi.

Abang Johari berkata demikian setelah menerima taklimat perjalanan projek-projek pembangunan di Daerah Limbang semalam.

Terdapat 11 projek sedang dilaksanakan di bandar ini, yang keseluruhannya bernilai RM735 juta.

Antaranya termasuk naik taraf Tebingan Limbang (Fasa Satu) bernilai RM30 juta, naik taraf Tebingan Limbang (Fasa Dua) bernilai RM30 juta, Jambatan Pejalan Kaki di persimpangan Jalan Buangsiol bernilai RM4.4 juta, Jambatan Sungai Limbang, Jambatan Sungai Bunut No.2 dan jalan bernilai RM205 juta.

Projek seterusnya ialah bangunan pentadbiran Muzium Limbang bernilai RM10 juta, naik taraf Jalan Tedungan Pandaruan bernilai RM19 juta, Jalan Ulu Tubai bernilai RM 130 juta, naik taraf Loji Rawatan Air Berawan bernilai RM34.5 juta, Perumahan Kos Rendah Rangau bernilai RM42 juta, Pusat Pentadbiran Bersepadu Rangau bernilai RM200 juta dan jalan baharu dari Rangau ke Kuala Limbang bernilai RM27.8 juta.

Pada majlis yang sama, penduduk bandar ini turut menghadiahkan kek hari jadi kepada Ketua Menteri.

Abang Johari lahir di bandar ini 69 tahun yang lalu.