11 rumah panjang tamat sekatan

MIRI: Sejumlah 11 rumah panjang masing-masing di Daerah Beluru, Daerah Subis dan Daerah Telang Usan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, ditamatkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin berkata, sementara dua rumah panjang di Daerah Beluru masih lagi dibawah perintah berkenaan.

Rumah Pengabang Beluru dan Rumah Matthew Tiri Beluru masih dikenakan PKP bermula 7 Februari hingga 7 Mac depan. Kim Shin berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri mesyuarat secara Zoom dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), pagi semalam.

Menteri Pengangkutan itu mengesahkan, 11 rumah panjang telah tamat PKP berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.

Antaranya, Rumah Emah Beluru, Rumah Apol Beluru, Rumah Anthony Beluru, Rumah Chabu Beluru, Rumah Justine Beluru, Rumah Nelson Beluru dan Rumah Lawang Beluru. Di samping itu, Rumah Banyan Beluru, Rumah Clarence Subis, Rumah Sabang Subis dan Rumah Long Jeeh Telang Usan.

Kim Shin berkata, butir-butir dan maklumat terkini berhubung dengan 11 rumah panjang tersebut telahpun diserahkan kepada JPBNS dalam mesyuarat terbabit. Tambahnya, PKP baharu telah dikeluarkan oleh JPBB Miri melibatkan sebuah ladang dalam kawasan Niah Sawai Land District berkuat kuasa pada 24 Februari sehingga 10 Mac ini.

Adun Senadin itu turut mengesahkan, tiga ladang dalam Daerah Subis juga tamat PKP. Mengulas lanjut prosedur operasi standard (SOP) untuk sambutan Chap Goh Meh, Kim Shin mengingatkan masyarakat Cina di Miri untuk mematuhi SOP sambutan Tahun Baharu Cina dan Chap Goh Mei yang dikeluarkan oleh JPBNS pada 5 Februari lalu.

Beliau mengingatkan orang ramai agar terus memberikan penekanan kepada pematuhan SOP, di samping Pasukan Penguatkuasaan telah digerakkan secara aktif di Miri untuk melakukan pemantauan.

“Kita berharap orang ramai memberikan kerjasama erat dalam membanteras penularan pandemik Covid-19 bagi mengembalikan Miri kepada status zon hijau. “Ini bukan sahaja tanggungjawab penguat kuasa sahaja, orang ramai juga perlu menjaga sendiri dan berdisiplin,” jelasnya.

Menurutnya, petugas barisan hadapan berusaha gigih untuk mengawal dan meneruskan penguatkuasaan, namun masih memerlukan kerjasama daripada komuniti.

“JPBB Miri merayu kerjasama erat orang ramai, kekal waspada dan bersama-sama memerangi pandemik ini,” tegasnya.

Suara Sarawak