11 terlibat tipu pinjaman wang

KUCHING: Seramai 11 lelaki warga China disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan pinjaman wang tidak wujud dalam talian dihadapkan ke Mahkamah Kuching atas tiga pertuduhan, semalam.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa ASP Rogayah Rosli di hadapan Majistret Siti Zubaidah Sarkawi dan Hakim Mahkamah Sesyen Dayang Ellis Narisa.

“Tuduhan pertama terhadap 11 tahanan warga China iaitu di bawah Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu pakatan jahat jenayah melakukan penipuan. “Empat orang turut dituduh di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal di Malaysia setelah permit tamat tempoh atau dibatalkan.

“Kesalahan seterusnya melibatkan tujuh tahanan dituduh di bawah Peraturan 39(b) Peraturanperaturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan yang memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” jelasnya semalam.

Dedahnya, kesemua tertuduh yang diwakili peguam Shankar R. P. Asnani mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan.

Dalam pada itu, Zubaidah menawarkan sebanyak RM5,000 bagi ikat jamin kepada semua tertuduh bagi setiap pertuduhan bersama-sama dua penjamin tempatan dan tarikh semula sebutan kes ditetapkan pada 3 Mac depan.

Sementara itu, Ellis turut mengarahkan kes imigresen ini dituduh semula di Mahkamah Khas di Depot Tahanan Imigresen Semuja, Serian pada 5 Februari (hari ini).

Terdahulu, dedah Kamal, kesemua suspek diberkas hasil serbuan sekitar jam 7.45 malam di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Stampin Tengah, Kuching pada 15 Januari lalu.

Menurutnya, serbuan turut menemui beberapa barangan dipercayai alat untuk aktiviti penipuan yang dijalankan oleh sindiket berkenaan.

“Kesemua suspek yang ditahan masing-masing berusia 21 hingga 34 tahun. “Turut dirampas, satu set komputer, 22 telefon bimbit, 56 keping kad sim, enam router, empat keping kad ATM, dua printer dan pengimbas kad, sebuah kereta sedan dan pelbagai dokumen,” ujarnya.

Suara Sarawak