11 warga China didakwa di mahkamah tawar pinjaman tidak wujud

KUCHING: Sebelas lelaki warganegara China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Kuching hari ini atas pertuduhan terlibat sindiket penipuan menawarkan pinjaman wang tidak wujud dalam talian serta dua kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Tertuduh yang berumur 21 hingga 34 tahun yang diwakili peguam Shankar R.P. Asnani membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Zubaidah Sarkawi dan Hakim Mahkamah Sesyen Dayang Ellis Narisa.

Di Mahkamah Majistret kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 120B (1) Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana berpakat melakukan jenayah penipuan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah dalam kenyataan hari ini, Siti Zubaidah menetapkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin tempatan dan tarikh sebutan semula kes pada 3 Mac.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Hakim Dayang Ellis memerintahkan semua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan dan mengarahkan kes imigresen itu dituduh semula di Mahkamah Khas di Depot Tahanan Imigresen Semuja, Serian, esok,” katanya.

Mustafa berkata 11 warga China itu ditahan sepasukan anggota polis dalam pemeriksaan di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Stampin Tengah kira-kira 7.45 malam, 15 Jan lepas.– BERNAMA

Suara Sarawak