Dayak perlu sehati sejiwa

BAU: Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Micheal Manyin Jawong menasihat masyarakat Dayak agar ndi otin, ndi asong (satu minda, satu hati) ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.

Beliau berkata, bertepatan tema sambutan Gawai Dayak tahun ini, masyarakat Dayak khususnya Bidayuh harus sehati sejiwa ketika menghadapi pilihan raya kelak.

“Kita perlu teguh bersama-sama masyarakat. Jangan lakukan sesuatu perkara secara bersendirian.

“Jangan berfikir untuk agenda sendiri. Berfikirlah untuk komuniti supaya masa depan masyarakat kita cerah,” katanya dalam Majlis Sambutan Perayaan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak (Daerah Bau) di Dewan Suarah Bau, kelmarin.

Manyin berkata, Gawai adalah simbolik perpaduan yang dapat mempromosikan masyarakat Dayak kepada masyarakat luar.

Untuk itu jelasnya, kaum Bidayuh harus membangun bersama-sama kaum Iban, Orang Ulu dan kaum lain.

Jelasnya, sekiranya masyarakat Dayak bersatu, tindakan ini akan memberi impak positif kepada pembangunan negeri.

“Jika kita maju dan bersatu, pembangunan secara aktif akan berkembang di negeri kita,” katanya lagi.

Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep dan Adun Serembu Miro Simuh turut hadir.

Suara Sarawak