Bekalan air terputus di Puncak Borneo, LAK dan JBALB mohon maaf

KUCHING: Masalah bekalan air di sepanjang kawasan Puncak Borneo sehingga ke Siburan berpunca dari kerja-kerja penyambungan paip sementara di dalam kawasan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang terletak di Batu 10, Jalan Kuching-Serian yang telah dijadual pada 3 Julai lalu (10.00 malam sehingga 5.00 pagi).

Bagaimanapun, setelah penyambungan tersebut  siap dijalankan, Lembaga Air Kuching (LAK) menghadapi masalah teknikal dari stesen pam penggalak LAK  Batu 10 ke sistem bekalan air Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Kuching di mana sehingga sekarang tekanan air masih tidak dapat dinaikkan ke paras normal.

Menurut LAK dan JBALB Bahagian Kuching dalam kenyataan hari ini, pihaknya sedang melakukan kerja-kerja lapangan  untuk melepaskan angin “Air Lock” yang terperangkap dalam paip  dan juga memeriksa integriti sistem perpaipan.

Pekerja melakukan kerja-kerja lapangan  untuk melepaskan angin “Air Lock” yang terperangkap dalam paip  dan juga memeriksa integriti sistem perpaipan.

“Kami akan terus menghantar air ke kawasan-kawasan yang terlibat sehingga kerja-kerja pembaikpulih selesai dijalankan.

“Pihak LAK dan JBALB (Bahagian Kuching) memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh penduduk-penduduk yang mengalami masalah kesulitan air,” katanya hari ini.

Setakat ini, ribuan penduduk di kawasan Puncak Borneo sehingga ke Siburan sudah terputus bekalan air sejak empat hari lalu.

Keadaan itu menyebabkan kehidupan seharian para penduduk terjejas terutama untuk mandi, memasak, mencuci dan sebagainya.

Pegawai LAK dan JBALB bermesyuarat bagi membincangkan penyelesaian masalah bekalan air di kawasan Puncak Borneo yang terputus sejak empat hari lalu.

Suara Sarawak