
KUCHING: Seramai 15,547 individu di Sarawak berdaftar di bawah kategori kurang upaya pembelajaran berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kategori pemasalahan intelektual merekod bilangan pendaftaran tertinggi iaitu seramai 7,204 berbanding tujuh lagi kategori lain.
“Kategori kurang upaya tidak spesifik mencatat seramai 2,636 bilangan individu, diikuti autistik (2,584), sindrom down (1,390), gangguan hiperaktif kurang perhatian (604), gangguan perkembangan global (587) dan masalah pembelajaran spesifik (542),” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kempen Kesedaran Autistik di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fatimah memberitahu penglibatan aktif Persatuan Autistik Kuching (KAA) sebagai sebuah badan organisasi bukan kerajaan (NGO) mendapat sokongan daripada Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan pelbagai aktiviti.
“Antaranya, kerajaan menyalurkan geran bernilai RM15,000 pada tahun 1998, diberikan tiga ekar tanah pada 11 Januari 2010 di Jalan Desa Wira bagi mewujudkan dua blok bangunan dan pada 4 Mac 2021 sekali lagi memperuntukkan RM4.179 juta untuk membangunkan blok bangunan pendidikan kedua.
“Selain itu, KAA turut menerima Bantuan Geran Negeri antara RM5,000 hingga RM20,000 daripada JKMS,” ujarnya.
Justeru katanya, pengiktirafan KAA sebagai Pertubuhan Cemerlang pada Hari Wanita (8 Mac 2022) sememangnya setaraf dengan hasil komitmen yang telah dipamerkan oleh ahli-ahli persatuan dalam mentransformasikan kehidupan golongan autisme.