1,184 juta liter air sehari

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan bekalan air bersih dapat disalurkan ke seluruh zon selatan menjelang 2022 hingga 2023, kata Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Menurutnya, sasaran tersebut dapat dicapai apabila siapnya kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang No. 2 dan No.4 serta pembinaan baharu Loji Rawatan Air Landeh yang menelan kos keseluruhan RM1.2 bilion.

“Apabila siap nanti, ia dapat meningkatkan kapasiti serta menghasilkan 1,184 juta liter air sehari untuk bekalan seluruh Kuching hingga ke Sebuyau dengan semua sumber air diperoleh dari Empangan Bengoh.

“Semua projek pembangunan itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan dilaksanakan agensi pelaksana dikenali sebagai Kuching Water bermula tahun 2021,” katanya ketika lawatan kerja ke Lembaga Air Kuching, di sini, semalam.

Ujarnya, Empangan Bengoh mampu mencapai pengeluaran air sehingga 2,047 juta liter air sehari dan mampu bertahan sehingga enam bulan tanpa kering, namun waktu ini hanya sekitar 800 juta liter air sehari digunakan.

Katanya, Loji Rawatan Air Batu Kitang setakat ini membekalkan sekitar 650 juta liter air sehari untuk kegunaan 900,000 penduduk di sekitar Kuching.

Mengulas mengenai pembinaan Loji Rawatan Air Landeh katanya, ia perlu dibina bagi menampung masalah tekanan air rendah di kawasan Tanah Tinggi Borneo serta membolehkan bekalan air dapat disalurkan kepada penduduk sekitarnya.

“Kita menaik taraf Loji Rawatan Air Slabi, Serian dengan meningkatkan kapasiti kepada 200 juta liter air sehari yang akan menampung penggunaan air Serian, Gedong hingga Simunjan.

“Ini juga akan menjadi sandaran atau penghubung apabila salah satu loji menghadapi masalah bekalan air. “Kesemuanya termasuk dalam sistem grid air negeri.

“Sistem yang sama akan turut digunakan di Loji Rawatan Air Bayai, Engkelili, Kabong, Saratok dan kawasan berdekatan. Begitu juga di Mukah, Sibu dan Sarikei,” jelasnya.

Tambahnya, Kementerian Utiliti komited menyediakan liputan bekalan air bersih dan bekalan elektrik 100 peratus di seluruh negeri ini menjelang 2030.

“Apabila semua ini selesai dalam RMK-12 nanti, semua krisis air dan elektrik akan tinggal sejarah untuk dikenang.

“Kita akan bergerak kepada Pelan Induk untuk tahun 2030 hingga 2070 yang lebih maju,” katanya lagi.

Suara Sarawak