Burger Abang Sado Unik

BURGER unik ‘Abang Sado’ atlet bina badan negara Mohd Azizul Ghani menjadi tarikan baharu warga Kuching.

Ekoran pembatalan pertandingan Bina Badan Mr. Universe di Uzbekistan, Azizul bersama-sama rakanya membuat perniagaan burger berkonsepkan minat mereka sendiri.

“Saya berkongsi apa yang saya makan sebagai ahli bina badan kerana bagi kami, makanan sangat penting.

“Kebanyakan individu bina badan atau mereka yang bermain gimnasium suka makan banyak.

“Saya sendiri makan 10 kali sehari untuk menjaga badan dan konsep makanan ini menjadi tarikan kepada golongan yang bermain gimnasium,” katanya.

Gerai Burger Muscleman baru beroperasi sekitar dua bulan, namun sambutan sangat menggalakkan.

Azizul berkata, pada mulanya, mereka berniaga di Al-Hassan Cafe, namun untuk memudahkan pelanggan datang, beliau memilih tempat yang lebih strategik iaitu Restoran AYAM panggang MADU WAK di Satok.

Berbekalkan nama yang telah dibuat dalam bidang bina badan, beliau bekerjasama dengan Usna Marketing Enterprise untuk menceburi bidang perniagaan burger.

“Saya mengambil bekalan daging Usna kerana produk dagingnya sangat mudah dimasak dan mempunyai ketebalan yang berbeza iaitu 60 gram, 80 gram dan 120 gram.

“Pati burger Usna juga tidak mempunyai bahan campuran, menjadikan daging lebih sedap dan berkualiti,” ujarnya.

Sementara itu, Gerai Burger Muscleman merupakan satu-satunya gerai yang menjual burger salmon dan avokado.

Katanya, burger salmon merupakan tarikan utama pelanggan terutamanya mereka yang bermain gimnasium.

“Belum ada kedai burger di Sarawak menjual burger daripada salmon dan avokado.

“Saya melihat makanan berkonsepkan salmon sangat mahal di pasaran.

Oleh itu, saya mengambil inisiatif untuk menjual burger salmon harga mampu milik iaitu RM7,” ujarnya. Namun, Gerai Burger Muscleman hanya menjual burger salmon pada Jumaat dan Sabtu sahaja sebagai strategi perniagaan.

“Saya boleh menjual burger salmon setiap hari, namun sebagai strategi, saya hanya menjual dalam dua hari supaya permintaan burger tersebut terus tinggi,” katanya.

Inspirasi burger yang dikaitkan dengan sukan bina badan iaitu nama bahagian otot badan seperti Buger Tricep, Lamb Chest, Hotdog Hamstring, dan Benjo Whey Protein.

“Saya melihat belum ada kedai di sini menggunakan namanama tersebut, jadi saya terus menjadikan peluang ini sebagai satu tarikan,” tambahnya lagi

Suara Sarawak