12 lelaki ceroboh masuk ketika tiada pengawal keselamatan

KUCHING: 12 lelaki dipercayai suspek terlibat kegiatan mencuri bahan-bahan pembinaan bangunan di kawasan Jalan Diplomatik berjaya diberkas polis semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Merbin Lisa berkata kesemua suspek ditahan hasil dua hari Ops Lusuh (19 dan 20 Februari 2020) yang dijalankan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching bersama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

Menurutnya, suspek dipercayai berjaya menceroboh ke tapak pembinaan terbabit berikutan tiada pengawal keselamatan di tempat kejadian.

“Kesemua suspek yang ditahan masing-masing berusia 26 hingga 38 tahun.

“Hasil siasatan terhadap mereka (suspek) mendapati barang curi telah dijual ke salah sebuah premis barang lusuh di sekitar Kuching,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, kata Merbin, pihaknya berjaya menemui semula sebanyak 27.5 Kilogram kepingan besi aluminium dipercayai barang curi serta menahan seorang pekerja warga asing di premis berkenaan.

CURI… Antara peralatan dan barang-barang curi berjaya ditemui oleh pihak pasukan polis

Tambahnya, turut dirampas tiga buah motosikal, pemotong paip, gergaji kayu, pemotong, kotak bateri, batang rangka tingkap aluminium dan tembaga kepala gas oksigen.

“Semakan lanjut ke atas motosikal mendapati salah satu daripadanya merupakan motosikal dilaporkan hilang di Batu Kawa yang disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Ekoran itu, dedah Merbin, kesemua suspek telah diluluskan perintah tahanan reman selama lima hari (21 hingga 25 Februari 2020) manakala pekerja warga asing ditahan di bawah kesalahan Akta Imigresen.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara 10 tahun atau dikenakan hukuman sebat.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada semua pengusaha barang lusuh supaya berhati-hati dalam urusan jual beli barang lusuh bagi mengelak daripada membeli barang-barang curi.

Ujarnya, pengusaha atau pembeli juga boleh diambil tindakan undng-undang dan dilucutkan lesen perniagaan sekiranya didapati terlibat dalam kejadiaan berkenaan.

Suara Sarawak