12 sekolah usang siap dibaik pulih

KUCHING: Sehingga kini sebanyak 12 sekolah usang di negeri ini siap dibaik pulih oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan 18 sekolah akan siap menjelang April depan.

JKR Sarawak dalam satu kenyataan  menjelaskan, dua sekolah terakhir telah ditender pada 15 Februari lalu, dan pelaksanaan dua sekolah tersebut tertangguh kerana masalah tapak.

“Sebagai badan penasihat teknikal, JKR Sarawak dan JKR Malaysia telah melaksanakan projek RM100 juta untuk menaik taraf 32 sekolah usang di Sarawak,” jelas kenyataan itu.

JKR menjelaskan perkara demikian ekoran kenyataan bekas Adun Pujut Dr Ting Tiong Choon di media sosial Facebook baru-baru ini berkenaan sekolah daif di Sarawak.

Jelas JKR lagi, program RM350 juta pula melibatkan sistem pembinaan hibrid konvensional atau IBS dan skop kerja termasuk pembinaan blok pentadbiran, blok kelas, asrama, tandas, dewan makan, bilik sains, bilik sumber, bilik khas dan kuarters.

Suara Sarawak