1,200 unit spektra pertama di Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 1,200 rumah mampu milik Spektra Permata akan dibina di bahagian ini bagi menangani masalah kepadatan penduduk kampung. Adun Muara Tuang Datuk Idris Buang berkata, Kerajaan Sarawak mengenal pasti dan mewartakan tanah seluas 144 ekar untuk tujuan tersebut.

“Saya memohon perkara ini kepada Ketua Menteri semasa mesyuarat membina banyak rumah di bawah RM100,000. Beliau juga menyebut perkara itu ketika pembentangan Bajet Sarawak.

“Harga rumah dari RM85,000 ke RM125,000 bergantung kepada skala dan saiz. Insya-Allah, Kota Samarahan akan mempunyai rumah spektra seperti Sibu, Kuching dan Sematan,” katanya pada Majlis Penangguhan Pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Samarahan di Dewan Suarah Samarahan pada Rabu.

Beliau berkata, golongan yang tidak mempunyai penyata gaji seperti petani dan nelayan boleh memohon untuk membuat pinjaman Kerajaan Sarawak melalui Mutiara Mortgage dan Kredit.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai rumah atau tanah, mereka boleh memohon pembayaran ansuran sebanyak RM200 ke RM300 sebulan.

“Bagaimanapun, ketua masyarakat atau ketua kaum boleh memainkan peranan dengan me-nyediakan surat sokongan kepada mereka yang tidak mempunyai penyata gaji.

“Apabila rumah tersebut habis dibayar, ia akan menjadi milik mereka,” tambahnya.

Idris berkata, rumah Spektra bakal mengurangkan kepadatan penduduk kampung di sini. Mengambil contoh Kampung Baru kata Idris, anak terpaksa mendiami rumah orang tua kerana mereka tidak dapat membeli rumah.

“Mereka pula hanya dapat membantu orang tua di kebun dan akhirnya mewarisi kebun tersebut “Saya berjanji masalah ini bakal selesai dan sudah dipersetujui Ketua Menteri.

“Saya harap ia dapat dilaksanakan dalam lima tahun. Ini untuk anak kita yang tiada pendapatan tetap,” kata Idris.

Beliau memberitahu, masalah yang melanda Kampung Baru khususnya berkaitan penduduk yang padat akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Apabila kita menyelesaikan masalah ini, kita akan perluaskan ke kampung lain,” kata Idris.

Suara Sarawak