121 ahli baharu sertai SUPP Sarikei

SARIKEI : Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Sarikei terus melakar kejayaan apabila menerima kemasukan seramai 121 orang ahli baharu, hari ini.

Sebahagian besar mereka terdiri daripada bekas Parti Rakyat Bersatu (UPP) manakala selebihnya, individu perseorangan yang tidak mewakili mana- mana parti. 

Majlis penyertaan baju dan kad keahlian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii dalam majlis jamuan makan tengah hari di Restoran Hung Kew Kee, di sini, hari ini.

Gembira dengan perkembangan itu, Huang yang juga Pengerusi Cawangan SUPP Sarikei sentiasa mengalu-alukan kemasukan semua ahli baharu itu dan berharap mereka berjuang dengan ikhlas.

Antara ahli baharu yang menyertai SUPP Sarikei.

Penyertaan ahli berkenaan katanya, mengukuhkan lagi perjuangan mereka dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Kita menerima kemasukan ahli secara berperingkat-peringkat sejak pertengahan tahun ini. Kita masih menunggu proses kad keahlian dari ibu pejabat SUPP di Kuching, katanya kepada wartawan.

Sehubungan itu, beliau amat menghargai sokongan padu Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya di kawasan DUN Repok.

Hasil komitmen padu kerajaan di bawah kepimpinan Ketua Menteri katanya, rakyat berpeluang menikmati taraf hidup yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Malah Kerajaan GPS sentiasa mengambil berat keperluan penduduk dengan menyalurkan pelbagai projek untuk manfaat rakyat khususnya di DUN Repok.

Huang menyerahkan baju GPS dan kad keahlian kepada ahli baharu SUPP di Sarikei, semalam.

“Justeru, kehadiran parti lain seperti Pakatan Harapan (PH), saya anggap sebagai proses biasa sebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi.

“Apapun, saya yakin rakyat boleh menilai dengan bijak parti mana yang banyak membela nasib mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat agar terus memberikan sokongan kepada GPS bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dapat disalurkan.