KUCHING: Sebanyak 121 daripada 359 projek sekolah daif yang telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri telah selesai isu status pemilikan tanah.
Timbalan Premier merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ia kerana status pemilikan tanah sekolah terbabit telah diberi milik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).
“Manakala bagi 238 projek sekolah daif yang belum selesai status pemilikan tanah kepada PTP, syarat kelulusan khas telah diberi dengan membenarkan kerja-kerja pembinaan dilaksanakan lebih awal dengan syarat ia menepati piawaian perancangan termasuk keperluan Pihak Berkuasa Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, bagi mengulas berhubung kerja pembinaan menaik taraf dan bina baru bangunan sekolah daif yang tidak dapat dilaksanakan, yang didakwa disebabkan oleh status tanah sekolah terlibat.
Justeru, Awang Tengah berkata soal status tanah tidak seharusnya menjadi isu atau halangan untuk pihak yang berkenaan melaksanakan kerja-kerja menaik taraf sekolah daif.
