Operasi carilamat tiga nelayan hilang digerakkan

BINTULU: Tiga nelayan dikhuatiri hilang di perairan Beting Nyabau dan Beting Kidurong, dekat sini selepas mereka dikatakan tidak pulang dari aktiviti memancing di laut sejak semalam.

Mangsa, Shamsuddin Dahlan ,52 dan Mohd Syazwan Shamsuddin, 17, dari Kampung Jabai serta Mohd Husaini Azman,18, dari Kampung Sinong, di sini telah keluar ke laut dengan menaiki sebuah bot kira- kira jam 3 pagi Selasa untuk memancing ikan.

Pengarah Zon, Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata kehilangan ketiga- tiga nelayan tersebut dimaklumkan pihak polis Marin Bintulu setelah laporan dibuat keluarga mangsa.

Menurutnya, usaha mencari dan menyelamat segera dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu berdasarkan maklumat diperolehi dari keluarga mangsa.

SHAMSUDDIN DAHLAN

“Usaha mencari dan menyelamat akan ditumpukan seluas 10 batu nautika persegi iaitu kira-kira 20 kilo meter persegi daripada perairan Beting Nyabau dan Beting Kidurong Bintulu, ujarnya sambil memberitahu operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) akan diteruskan sehingga kesemua mangsa dijumpai.

Menurut Shahref lagi, berdasarkan maklumat isteri Shamsuddin, mangsa sering memukat dan memancing sekitar kawasan Beting Nyabau(Patricia Shoal) dan pelantar Bayan, malah, katanya lagi, usaha pencarian oleh rakan mangsa di sekitar pelantar Bayan juga gagal mengesan kelibat mangsa.

Kesemua mangsa mempunyai jaket keselamatan dan memiliki kemahiran berenang selain berpengalaman lebih sepuluh tahun sebagai nelayan, ujarnya.

Beliau, dalam pada itu, meminta kerjasama komuniti maritim terutamanya di Bintulu agar dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan insiden ini dan menggesa supaya mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan .

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254).

MOHD SYAZWAN SHAMSUDDIN

 

MOHD HUSAINI AZMAN