1,240 sampel diambil dalam masa 48 jam untuk zon 7 Tiong Hua Sibu

SIBU: Sebanyak 1,240 sampel calitan telah dikumpulkan dari pengesanan kes aktif (ACD) selama dua hari untuk Zon 7 Tiong Hua yang telah diadakan di Bangunan Tempat Letak Kereta Berrtingkat Majlis Perbandaran Sibu (MPS) pada Sabtu dan Ahad lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing berkata, dari jumlah keseluruhan tersebut 458 sampel calitan dikumpulkan pada Sabtu manakala Ahad adalah sebanyak 782 sampel calitan.

Ditanya mengenai keputusan semua sampel calitan itu, Dr Chin mengatakan ia masih belum selesai diuji.

“Kita menjangkakan keputusannya akan diketahui pada dua ke tiga hari lagi,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh berkata, ujian saringan calitan COVID-19 membabitkan penjaja berlesen di Pasar Sentral Sibu masih dijalankan pada hari ini (Selasa).

Kata beliau, saringan akan diteruskan juga esok (Rabu).

“Semua penjaja berlesen Pasar Sentral Sibu diwajibkan menjalani ujian saringan calitan Covid-19 sejak arahan dikeluarkan oleh MPS pada minggu lalu.

“Kami menasihati penjaja untuk menjalani calitan yang diadakan di di premis Pasar Sentral Sibu sahaja dan tidak perlu pergi ke tempat lain supaya kami tahu berapa banyak di kalangan penjaja diuji positif Covid-19,” kata Ting.

Beliau turut memberitahu bahawa Pasar Sentral Sibu masih ditutup sehingga 28 Februari ini.

“Kita masih belum menetapkan bila Pasar Sentral Sibu akan dibuka semula tetapi ia bergantung kepada keputusan calitan COVID-19 dari para penjaja.

“Ketika ini, calitan adalah pada pusingan kedua atau kali kedua calitan,” tegas beliau.

Ting mengatakan keputusan penutupan pasar tersebut itu adalah berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu.

“Ini untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 dalam usaha bersama kita untuk mengekang penyebaran COVID-19,” tambah Ting lagi.