ARTIKEL

Steven Sim (dua kanan) beramah mesra dengan dua anggota Bomba Sukarela, Goh Keat Kun (dua kiri) dan Loh Soon Lee (kiri), selepas menyampaikan sijil caruman SKSPS di Wisma PERKESO Seberang Jaya hari ini. Seramai 218 anggota Persatuan Bomba Sukarela Bukit Mertajam menerima caruman SKSPS pada majlis tersebut.

127,295 orang bekerja sendiri mendaftar SKSPS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BUKIT MERTAJAM, Pulau Pinang: Golongan bekerja sendiri digesa mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kerana ketika ini hanya 27.56 peratus atau 127,295 orang, daripada sasaran seramai 500,000 pencarum di seluruh negara tahun ini, yang mendaftar untuk mencarum skim tersebut.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata SKSPS diwujudkan untuk memberi pelindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri dan mereka yang telah mendaftar mendapat pelbagai manfaat.

“Saya menyeru rakyat Malaysia yang bekerja sendiri, tak kiralah penjaja, usahawan dan sebagainya, untuk mencarum skim ini kerana tahun ini kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM100 juta iaitu geran padanan bagi skim tersebut.

“Menerusi peruntukan itu, kerajaan bahagi subsidi sebanyak 90 peratus dan mereka yang mendaftar hanya perlu membayar RM23 sahaja untuk setahun, tahun ini kami sasarkan 500,000 pencarum SKSPS dan pelbagai usaha dijalankan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai berhubung skim tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sim, yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, ditemui selepas Majlis Tajaan dan Taklimat Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS) kepada Persatuan Bomba Sukarela Parlimen Bukit Mertajam di Pejabat PERKESO Pulau Pinang.

Pada majlis itu seramai 218 anggota dari 10 Persatuan Bomba Sukarela menerima tajaan SKSPS.

Sim berkata tajaan caruman itu merupakan salah satu bentuk penghargaannya kepada anggota bomba sukarela yang berkhidmat secara percuma kepada masyarakat setempat sekali gus turut memikul amanah menjaga keselamatan penduduk secara sukarela.

“Penajaan caruman SKSPS itu dibuat demi menjamin keselamatan anggota bomba sukarela itu dan orang tanggungan, iaitu ahli keluarga sekiranya mereka ditimpa bencana atau kemalangan maut sewaktu menjalankan tugas sebagai anggota bomba sukarela,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Sim berkata beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis, susulan laporan polis dibuat Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) terhadap dirinya berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Beliau berkata setakat ini, pihak polis belum mengambil keterangannya dan beliau bersedia jika dipanggil polis.
 
Sim berkata dakwaan tersebut tidak berasas, namun katanya mereka mempunyai hak untuk membuat laporan polis.

“Saya serahkan kepada pihak polis untuk buat siasatan dan saya tidak ingin berikan komen lanjut kerana isu tersebut sudah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan, jadi biar mahkamah yang tentukan dari segi keadilan,” katanya.

Media melaporkan lima cawangan NUBE membuat laporan polis terhadap Sim atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan mendakwa beliau secara rahsia berbincang dengan Persatuan Bank-Bank Komersial Malaysia (MCBA) tanpa pengetahuan Majlis Eksekutif Kebangsaan NUBE berkenaan pembayaran bantuan perayaan untuk tahun ini. – BERNAMA

BERITA LAIN

10 gadis jelita rebut gelaran Kumang Gawai

SIBU: Seramai 10 gadis jelita merebut gelaran Kumang Gawai Dayak Sibu 2024 yang akan berlangsung sempena Majlis Makan Malam Mantar Gawai Dayak Peringkat Bahagian Sibu

Polis mohon bantuan cari kanak-kanak hilang

JOHOR BAHRU: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang sejak 20 Mei lepas. Ketua Polis Daerah

PDRM

Warga emas ditemui maut dalam longkang

IPOH: Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh dalam longkang besar Sungai Pinji, Kampung Sungai Rapat, di sini semalam. Ketua

BERITA TERBARU

15 PATI gagal masuk Sarawak

KUCHING: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke Sarawak menggunakan lorong tikus di Sektor Pos GABMA