13 aktiviti dibenarkan sepanjang Ramadan

KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) mengeluarkan garis panduan pengimrahan Ramadan di masjid dan surau semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Menurut garis panduan tersebut, hanya 13 aktiviti yang dibenarkan iaitu solat sunat terawih dan witir tidak melebihi jam 10 malam, tadarus pula dibenarkan satu jam sebelum solat zohor dan asar dan selepas solat terawih dan witir sehingga jam 10 malam serta qiamulai dibenarkan bermula jam 4 pagi.

Selain itu, aktiviti iktikaf dibenarkan serentak dengan tempoh aktiviti pengimrahan, aktiviti Majlis Khatam Al-Quran pula dibenarkan satu jam sebelum solat fardhu zohor dan asar dan selepas solat isyak tetapi tidak melebihi jam 10.30 malam tanpa jamuan, aktiviti sambutan Nuzul Al-Quran mulai 30 minit selepas selesai solat maghrib.

Seterusnya aktiviti kutipan zakat fitrah pula dibenarkan serentak dengan waktu aktiviti pengimrahan yang dibenarkan, aktiviti gotong-royong kebersihan dibenarkan mengikut SOP Covid-19 tetapi tidak melebihi 50 orang peserta.

Aktiviti ziarah kubur pula dibenarkan mengikut SOP yang ditetapkan MIS atau JPBN dan JPBB masing-masing.

Aktiviti majlis agihan bantuan atau sumbangan dibenarkan mengikut SOP Covid-19 tetapi tidak melebihi 200 orang peserta dalam satu-satu masa.

Aktiviti gotong-royong bubur lambok dan persiapan majlis agihan dibenarkan mengikut SOP Covid-19 tetapi tidak melebihi 15 petugas.

Selain itu, aktiviti tazkirah Ramadan hanya dibenarkan selepas solat maghrib sehingga azan isyak. Kuliah subuh pula dibenarkan selepas solat subuh selepas jam 7.30 pagi.

Walau bagaimanapun, terdapat tiga aktiviti yang tidak dibenarkan iaitu majlis berbuka puasa kecuali untuk 15 orang terdiri daripada JKP termasuk pegawai masjid dan petugas-petugasnya, aktiviti majlis jamuan moreh kecuali agihan makanan berbungkus dan dibawa balik.

Majlis jamuan sahur juga tidak dibenarkan kecuali untuk 15 orang terdiri daripada JKP termasuk pegawai masjid dan petugasnya.

Semua aktiviti yang dibenarkan hendaklah mengikut had jemaah yang ditetapkan iaitu bilangan jemaah dengan mematuhi penjarakan fizikal berdasarkan had kapasiti ruang keluasan masjid atau surau.

Menurut MIS, garis panduan ini hendaklah dilaksanakan selaras dengan garis panduan majlis pengimrahan masjid atau surau di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah atau kawasan yang dikenakan sebagai zon merah atau dikenakan PKPB di seluruh negeri Sarawak.

Menurutnya lagi, semua SOP Covid-19 hendaklah dipatuhi seperti yang ditetapkan Lembaga Fatwa Negeri Sarawak, JPBN, JPBB, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia. MIS juga boleh mengubah atau meminda mana-mana garis panduan tersebut dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.

Suara Sarawak