MIRI: Sebanyak 13 gelandangan termasuk dua warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dikesan dalam Operasi Bersepadu Pemantauan Gelandangan Daerah Miri, pada Isnin.
Menteri Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin berkata, dua warga asing itu telah diambil tindakan oleh Jabatan Imigresen Bahagian Miri.
“Empat gelandangan pula dihantar balik ke rumah masing-masing oleh pihak Majlis Bandaraya Miri. “Tujuan Operasi Bersepadu Pemantauan Gelandangan ini adalah untuk memantau dan mengenal pasti gelandangan bagi tujuan program vaksinasi Covid-19,” katanya semasa menyertai operasi itu bermula jam 10 malam Ahad hingga jam 1.00 pagi Isnin.
Operasi disertai Pejabat Residen Bahagian Miri, Pejabat Daerah Miri, Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri, PDRM, Pasukan Penguat Kuasa MBM dan Rela Miri.
Menurutnya, siasatan dan semakan masih dilakukan oleh pegawai kebajikan. “Gelandangan yang tidak mempunyai saudara atau tempat tinggal akan diletakkan di Pusat Pemindahan Sementara Gelandangan.
“JPBB Miri meminta kerjasama orang awam untuk melapor kepada JKM Miri jika terjumpa gelandangan di kawasan pentadbiran bandar raya Miri melalui telefon 085-419072 dan 085-419073,” jelasnya.
JPBB Miri berharap semua warga Miri memerangi Covid-19 dengan memastikan imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat di Bahagian Miri tercapai.
Pemangku Residen Bahagian Miri Jamalie Busri; Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Mohd Sabri Zainal; Pegawai JKM Miri Pengiran Mohamad Najib dan Pegawai Rela Daerah Miri Mohamad Afizi Salam turut hadir.