13 petugas media terima suntikan vaksin Covid-19 dalam fasa pertama mulai esok

KUCHING: Seramai 13 petugas media menjadi antara penerima suntikan vaksin Covid-19 bagi fasa pertama bermula esok sehingga 31 Mac depan.

Ia ekoran gesaan daripada Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBN) untuk mempertimbangkan media sebagai sebahagian daripada barisan hadapan dan diberi pertimbangan untuk berada dalam vaksinasi fasa pertama di negeri ini.

“Oleh kerana media memainkan peranan penting dalam penyebaran maklumat daripada pemerintah kepada masyarakat, maka, sangat penting bagi media – terutama yang berada di lapangan menjadi yang pertama menerima vaksin terbabit ,” kata Presiden FSJA, Jacqueline Radoi David.

Kumpulan vaksin pertama tiba di Kuching pada Rabu lalu di kawasan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing berkata, kira-kira 40,000 barisan hadapan di Sarawak akan menerima vaksin Covid-19 pada fasa pertama program ini.

Fasa kedua melibatkan individu berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang menghidap penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi. Fasa ketiga adalah untuk individu berumur 60 tahun ke bawah tanpa penyakit kronik.

Anggota media yang belum diberi vaksin akan dimasukkan dalam fasa kedua dan ketiga program berkenaan , yang akan diberitahu lebih lanjut oleh JPBN.

Mereka digalakkan untuk mendaftar melalui MySejahtera.

Suara Sarawak