KUCHING: Rakyat yang diisytihar muflis berhak punyai peluang kedua, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Menurutnya, setakat Januari lalu, lebih 260 ribu kes muflis telah direkodkan.
“Kes turut melibatkan anak-anak yang mempunyai potensi menyumbang kepada ekonomi negara.
“Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat.

“Sementara menunggu pindaan, kes-kes kecil yang hutangnya kurang 50,000 yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac ini,” katanya.
Katanya, kerajaan menyasarkan 130,000 rakyat akan dilepaskan daripada status muflis dengan lulusnya pindaan akta itu.
Dalam menangani isu-isu rakyat, Anwar juga mengumumkan bahawa golongan banduan juga wajar mendapat peluang kedua.
Katanya, bagi kepentingan dan asimilasi mereka semula ke dalam masyarakat, banduan akan terus diberi latihan secukupnya melalui program Skill for Inmate.
“Majikan juga digalakkan untuk menggaji banduan termasuk bekas penghuni Sekolah Henry Gurney dan institusi perlindungan dan pemulihan JKM dan layak mendapat potongan cukai tambahan.
“Program Agro Penjara untuk banduan terlibat dalam aktiviti pertanian yang dilaksanakan di atas tanah penjara seluas 70 hektar akan terus diperkasa dengan peruntukan RM10 juta,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2023, semalam.