1,318 pesakit Covid-19 di Sarawak masih dirawat dan diasingkan di hospital

KUCHING: Seramai 1,318 orang pesakit Covid-19 yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital seluruh negeri ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan hari ini, daripada jumlah itu, seramai 841 orang atau kes ditempatkan di Hospital Sibu.
Manakala 282 kes di Hospital Miri, 132 kes di Hospital Umum Sarawak (HUS), 62 kes di Hospital Bintulu dan satu kes di Hospital Limbang.
“Hari ini terdapat dua kes yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sibu.
“Terdapat tiga kes di Hospital Sibu, satu kes di HUS dan satu kes di Hospital Miri yang memerlukan bantuan peralatan tetapi dalam keadaan stabil,” katanya.
Sementara, katanya terdapat 32 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj semalam dari Hospital Sibu (24) dan HUS (8).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 1,231 orang atau 47.90 peratus dari jumlah keseluruhan kes di Sarawak.
Dalam pada itu, sebanyak 204 individu dalam siasatan (PUI) baru telah dilaporkan dan tiga PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

Suara Sarawak