Kampung Telaga Air berusia lebih 200 tahun

TELAGA AIR: Kampung Telaga Air dekat Kuching menjadi tumpuan orang ramai dari kawasan Kuching, Samarahan, Bau, Lundu dan Sematan, malah sejauh Sri Aman Jumaat lalu. Mereka datang bukan sahaja untuk menyertai dan melihat pelbagai acara sempena Pesta Telaga Air, tetapi ingin melihat suasana keindahan serta mahu menggali sejarah kewujudan Kampung Telaga Air.

Kampung Telaga Air dikatakan wujud lebih 200 tahun lalu, adalah sebuah kawasan hutan tua dengan pelbagai fauna dan flora. Disebabkan Telaga Air terletak berhampiran dengan laut dan kerap diacapi air masin, kawasan itu kebanyakkannya dipenuhi dengan hutan kayu bakau dan nipah.

Pekerjaan penduduk Telaga Air pada masa itu ialah nelayan tradisi selain mengusahakan pokok nipah untuk dijadikan gula nipah atau gula apong dan, ketika itu juga jumlah penduduk kurang daripada 50 orang, tetapi kini jumlah penduduk mencecah lebih 1,000 orang.

Setelah berganti zaman, Kampung Telaga Air kini berubah wajah sekali gus menjadi sebuah kawasan yang kian membangunkan di kawasan pesisiran pantai negeri ini. Malah ramai juga penduduk memegang jawatan penting di pelbagai jabatan kerajaan dan swasta selain ada yang berjaya dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

Jika dahulu, Kampung Telaga Air hanya dapat dikunjungi melalui sungai atau meniti tepian Laut China Selatan dari bandar raya Kuching, tetapi kini kampung itu dapat dihubungi dengan jalan raya yang berturap terus. Perjalanan lebih selamat dan singkat jika menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam. Kawasan ini turut disediakan kemudahan asas lain seperti bekalan air bersih dan bekalan elektrik.

Menurut cerita lisan beberapa penduduk, Kampung Telaga Air mendapat nama setelah wujudnya satu mata air di kawasan itu. Seorang penduduk, Rabian Kipli yang turut mendapat cerita turun-temurun daripada orangorang tua di kawasan itu menyatakan, mata air itu sentiasa mengeluarkan air bersih meskipun ketika musim panas atau kemarau panjang.

Tugu Telaga Air

Memandangkan air bersih itu sentiasa mengalir keluar, maka kawasan itu terus menjadi tumpuan penduduk dari kampung yang berhampiran seperti Kampung Sibu Laut, Santin, Telok Simpur, Mersan, Sungai Aur, Trombol dan Kampung Loba untuk mendapatkan bekalan air bersih semasa musim kemarau.

Ini disebabkan semua penduduk di kawasan itu hanya bergantung kepada air hujan yang ditadah ke dalam tempayan atau tong, berikutan ini, kampung ini kekal dinamakan sebagai Kampung Telaga Air. Rabian yang juga seorang Ahli Majlis Perbandaran Padawan berkata, Kampung Telaga Air mula melangkah maju sejak tahun 70-an apabila penduduk meneroka beberapa penempatan baru di kawasan berhampiran.

“Memandangkan kedudukannya yang strategik dan pada masa itu Kerajaan Sarawak memperkenalkan konsep baharu di Kampung Telaga Air sebagai pusat pertumbuhan desa pertama di Sarawak tahun 80-an lalu,” ujarnya.

Antara kemudahan yang disediakan ialah klinik kesihatan, sekolah, perpustakaan, pusat internet, dewan serbaguna, masjid, tebingan serta berberapa pusat menjamu selera. Terdapat juga dua agensi penting kerajaan iaitu pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Institut Kemahiran Islam Malaysia, Sarawak (Ikmas).

Tahun 2018, kampung ini mendapat anugerah emas daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan atas kejayaannya menganjurkan Pesta Telaga Air setiap tahun sejak 10 tahun lalu. Bagi mengekalkan sejarah kewujudan Kampung Telaga Air itu, Majlis Perbandaran Padawan membina tugu khas di tapak telaga bersejarah ini.

Orang ramai yang ingin melihat sendiri rupa bentuk asal telaga air berkenaan, bolehlah berkunjung ke Kampung Telaga Air. Walaupun Kampung Telaga Air belum mempunyai tempat penginapan yang eksklusif seperti hotel atau rumah tumpangan, namun orang ramai boleh menginap di beberapa rumah inap desa di kampung ini.

Harga bagi satu malam penginapan di sebuah rumah inap seda di Kampung Telaga Air amatlah berpatutan. Lagi pula ruang atau bilik dalam rumah inap desa berkenaan dapat menampung lima hingga 10 tetamu dalam satu masa.

Suara Sarawak