RM2.37 bilion untuk projek rakyat

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM2.37 bilion di bawah projek rakyat untuk mempercepat Pelan Induk Bekalan Elektrik Luar Bandar yang rancak dilaksanakan, kata Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom.

Menurutnya, apabila projek itu siap menjelang penghujung 2020, liputan bekalan elektrik luar bandar akan meningkat daripada 92 hingga 97 peratus. “Selepas bertahun-tahun mengembangkan garisan grid dari bandar berdekatan, sistem elektrik mencapai had teknikalnya di banyak kawasan luar bandar.

“Bagi mengatasi kekangan ini, projek di bawah Projek Rakyat perlu dilaksanakan terlebih dahulu di lokasi luar bandar yang dipilih secara strategik sebelum garisan grid diperluaskan untuk menyambung bekalan elektrik kepada lebih banyak perkampungan terpencil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Utiliti pada Persidangan Dun Ke-18 di sini, semalam.

Tambah Rundi, sebagai penyelesaian jangka pendek, skim solar Sares dibekalkan kepada penduduk pedalaman yang tidak dapat dijangkau grid elektrik.

“Maka, sebanyak RM1.5 bilion dikemukakan untuk dipertimbangkan bagi pembiayaan di bawah RMK-12. “Kita juga menubuhkan Dana Pemohonan Lewat (Alaf) pada tahun lalu apabila 3,000 daripada pemohon memenuhi kriteria untuk penyambungan,” jelasnya.

Rundi memberitahu, Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (Saidi) menurun tiga kali ganda daripada 357 minit pada 2010 kepada 99 minit pada 2018. Manakala Indeks Frenkuasi Purata Sistem (Saifi) meningkat sebanyak 50 peratus kepada 1.43 kali dalam tempoh yang sama.

Beliau turut mengakui kesulitan yang dialami pengguna disebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan luar bandar. “Saya mengarahkan SEB untuk menyiasat punca utama dan mewujudkan pelan tindakan bagi mengurangkan kejadian berulang pada jangka masa panjang.

“SEB memulakan program meter pintar apabila 1,600 unit dipasang di Kampung Gita di bawah fasa pertama dengan tambahan 4,500 lagi di Tabuan Jaya Baru, Tabuan Laru dan Jalan Kempas bulan lalu,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pemasangan meter pintar terbabit ialah projek perintis yang akan membuka laluan ke arah pendigitalan grid elektrik serta menyediakan platform untuk membangunkan Kuching sebagai bandar pintar.

Suara Sarawak