134,299 berdaftar dengan aplikasi Qmunity

KUCHING: Seramai 134,229 individu berdaftar dengan aplikasi Qmunity di seluruh Sarawak setakat ini, kata Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng. Jumlah itu menurutnya, semakin meningkat setiap saat.

“Di kawasan MBKS, banyak pasar raya yang telah menggunakan aplikasi ini seperti Plaza Merdeka dan Vivacity. “Oleh itu, aplikasi ini akan dikembangkan kepada pihak hospital kerana ia amat mudah,” katanya kepada Suara Sarawak kelmarin.

Aplikasi Qmunity yang diperkenalkan MBKS melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dibangunkan lebih dinamik oleh SAINS dan SMA agar ia digunakan secara menyeluruh di Sarawak. Terdahulu, pelancaran aplikasi Qmunity telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu, Hong Seng menggesa orang ramai agar tidak mendiskriminasikan keluarga pesakit Covid-19, seperti yang berlaku di Kenyalang Park. “Memang ada dua kes positif Covid-19 di Kenyalang Park tetapi tindakan orang ramai agak melampau apabila turut menularkan nombor kad pengenalan pesakit berkenaan.

“Malah, saya menerima banyak mesej daripada orang ramai apabila menggesa operasi sanitasi dijalankan di Kenyalang Park,” jelasnya. Tegasnya, masyarakat sepatutnya memberi sokongan moral kepada keluarga pesakit Covid-19 bukannya mendedahkan mereka di laman sosial.

“Saya juga menerima mesej daripada keluarga pesakit Covid19 yang memberitahu kehidupan peribadi mereka terganggu dan takut keluar. “Jika orang ramai tidak mampu memberi sokongan moral terhadap keluarga pesakit Covid-19, jangan pula menambah kedukaan mereka,” ujarnya.

Katanya lagi, adalah tidak adil untuk masyarakat menyalahkan pesakit Covid-19 kerana mereka juga tidak mahu dijangkiti pandemik berkenaan dan lebih malang mereka tidak tahu di mana mereka memperolehinya.

“Sebab itu saya melawat Kenyalang Park untuk memberi sokongan moral apabila perniagaan di kawasan berkenaan hampir lumpuh. “Malah, ia bukan salah pesakit Covid-19 itu dan saya harap masyarakat mendoakan kesembuhan mereka,” katanya.