1,343 belia diajar bercucuk tanam

KUCHING: Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak menyasarkan penglibatan 1,343 belia atau 23 peratus dengan nilai bantuan RM11.6 juta di bawah skim bantuan pertanian tahun ini.

Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail berkata, daripada 171,192 petani berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sehingga Disember 2018, hanya 12 peratus terdiri daripada golongan belia.

“Sehubungan itu, kementerian melalui Jabatan Pertanian Sarawak sedang melaksanakan pelbagai program pertanian berasaskan industri tanaman, akuakultur dan industri asas tani bagi membantu golongan petani terutamanya golongan belia di negeri ini berikutan penglibatan masih berada pada tahap sangat rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fazzrudin Abdul Rahman (Tupong-PBB) pada Persidangan Hari Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman (Bukit Kota-PBB) berkata pada tahun 2018, sejumlah 5,220 orang telah diberikan bantuan oleh Jabatan Pertanian Sarawak dengan nilai bantuan sebanyak RM30.8 juta.

“Daripada jumlah itu, hanya 828 orang atau 16 peratus terdiri daripada golongan belia dan jumlah bantuan yang diterima RM6.4 juta.

“Manakala pada tahun 2019, dianggarkan 5,795 orang akan diberikan bantuan oleh Jabatan Pertanian Sarawak dengan nilai bantuan sebanyak RM34.6 juta,” jelasnya.

Berikutan masih terlalu sedikit bilangan belia dalam sektor pertanian, kerajaan melalui Jabatan Pertanian menyediakan input pertanian dan khidmat nasihat sokongan untuk pelbagai program seperti tanaman, ternakan dan akuakultur dan industri asas tani.

“Oleh itu, menjadi harapan kerajaan agar lebih ramai golongan belia terutama lepasan pusat pengajian tinggi melibatkan diri dalam bidang ini sebagai pekerjaan utama mereka,” jelasnya.

Menurutnya, pelbagai permohonan turut dibuka kepada semua golongan tanpa mengira tahap ekonomi, umur ataupun tahap pendidikan.

“Bagi menggalak penglibatan belia, turut disediakan latihan jangka sederhana panjang dengan tempoh satu tahun enam bulan sehingga dua tahun di Institut Pertanian Sarawak, Semenggok (IPS).

“Selain itu, latihan jangka masa pendek tiga hari sehingga seminggu di stesen pertanian setempat termasuk dalam bidang ICT dan industri asas tani diikuti penyediaan dana khas kepada belia yang ingin mengembangkan usaha melalui Dana Teroka Pertanian,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, turut dibangunkan ialah model pertanian baru iaitu Agro Park disamping menambah baik program sedia ada Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) serta memperbanyakkan Program Agropreneur Muda (PAM).

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan program paling digemari oleh belia berdasarkan peratus bantuan kepada golongan belia bagi tahun 2018 dan 2019 ialah tanaman lada, kelapa sawit, program keusahawan dan pemprosesan madu kelulut, selain penanaman sayur-sayuran dan tanaman kontan.

“Program ini selaras dengan halatuju kementerian untuk memodenkan pertanian yang berkualiti dan mempunyai nilai eksport.

“Diharapkan dengan penglibatan lebih ramai golongan belia, hasrat kerajaan untuk beranjak daripada pengimport produk berasaskan pertanian daripada defisit imbangan bernilai RM3.6 bilion ketika ini kepada pengeksport bersih produk makanan menjelang tahun 2030 menjadi kenyataan,” tegasnya.