14 individu ditangkap salah guna dadah dan pil khayal

KUCHING: Seramai 12 lelaki dan seorang wanita tempatan termasuk seorang wanita warganegara China ditangkap ketika sedang berhibur di sebuah pusat hiburan, Royal KTV di Jalan Canna, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an ditangkap dalam serbuan yang dijalankan oleh pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kira-kira jam 10.30 malam tadi.

“Semasa serbuan, semua mereka sedang berhibur di dalam sebuah bilik khas dan tiga daripadanya didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

“Pasukan serbuan turut menjumpai dan merampas serbuk Ekstasi yang dianggarkan seberat 45.7 gram dan dua paket serbuk Ketamin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah kesemua yang ditahan dikompaun RM1,500 seorang di bawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pindaan 2021.

Pada masa sama, Ashmon berkata pemilik premis terbabit turut dikompaun RM50,000.

Manakala, katanya tiga yang positif dadah disiasat di bawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sehubungan itu, Ashmon berkata IPD Kuching mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berkaitan sebarang aktiviti, majlis atau parti liar.

 

Suara Sarawak