ARTIKEL

14 MoU Malaysia-China satu langkah komprehensif

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Persetujuan bagi menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang melibatkan Malaysia dan China menerusi pemeteraian 14 Memorandum Persefahaman (MoU) merupakan langkah komprehensif dan strategik. 

Presiden Persatuan Muafakat One Belt One Road Malaysia (PMOBOR)  Datuk Iskandar Sarudin berkata, MoU yang ditandatangani itu memberi manfaat dalam perkembangan potensi ekonomi negara, selain menambah baik ruang penyelidikan dan pendidikan. 

“Malaysia dan China sangat prihatin dengan perkembangan baharu sejak 10 tahun kebelakangan ini, selain ia juga bermakna 14 MoU itu bagi melengkapkan apa-apa yang kurang dalam hubungan ini,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi. 

Pada masa yang sama, beliau turut berharap agar Malaysia dapat memberi penekanan untuk mengadakan kerjasama bersama China dalam bidang industri halal yang merupakan simbol dan kekuatan negara. 

“Industri halal potensinya amat besar. Saya ingin menekankan mungkin ada sensitiviti dari sudut agama mengenai topik halal ini, namun ia perlu dilihat dari segi perdagangan, pekerjaan dan ekonomi agar ia dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.
 
MoU tersebut merangkumi antaranya kerjasama  melibatkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pengukuhan kerjasama pelaburan dalam ekonomi digital serta menggalakkan kerjasama pelaburan dalam pembangunan hijau.

Bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula, ia membabitkan perjanjian kerjasama dalam mencegah dan membanteras jenayah transnasional, selain  Kementerian Komunikasi dan Kumpulan Media China pula, pertukaran MoU mengenai kerjasama dalam bidang media. 
Terdahulu, Perdana Menteri China Li Qiang memulakan lawatan rasminya ke Malaysia pada Selasa dan berakhir hari ini.

Lawatan itu ialah kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak memegang jawatan itu pada Mac 2023, selain ia juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia–China, susulan pemeteraian Kenyataan Bersama antara Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China pada masa itu, Chou En Lai pada 31 Mei 1974. – Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU