KUCHING: Seramai 14 pelajar dan dua pensyarah MSU College Sarawak melawat pejabat Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune di Metrocity hari ini.
Rombongan disambut dan diberi taklimat ringkas oleh Ketua Pegawai Operasi, Cr Sardon Zainal.
New Sarawak Tribune merupakan akhbar cetak paling tua di Sarawak yang berusia 75 tahun antara fakta menarik dikongsikan Cr Sardon dalam kata-kata aluannya.
“ Selain itu Suara Sarawak merupakan akhbar paling muda di Malaysia dan mungkin di dunia, “ tambahnya lagi.
Sardon juga berpesan agar para pelajar MSU College untuk sentiasa kreatif supaya menampakkan kelainan dan keberadaan dalam pasaran kerja.
Rombongan juga diberi penerangan ringkas oleh Mr Dorge Rajah selaku Senior Manager di Business Corporate Divisyen.
Dorge turut menerangkan keperluan segmen minat pembaca dalam penerbitan berita.
Rombongan pelajar MSU College kemudiannya dibawa ke bilik pemprosesan dan penyuntingan serta reka bentuk akhbar sebelum proses dicetak.
Mereka juga dibawa ke pejabat pentadbiran untuk melihat sendiri bagaimana proses pengagihan akhbar sampai kepada pembaca.
Pensyarah pengiring berharap mereka dapat menjalin kerjasama lagi dengan pihak media agar pendedahan kesahihan berita boleh diterapkan kepada para pelajar.


