14 penagih diberkas dalam serbuan di Kampung Bolus, Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Seramai 14 penagih dadah ditahan dalam serbuan di Kampung Bilis, Sadong Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata kesemua suspek berusia dalam lingkungan 21 hingga 38 tahun ditahan dalam Op Sarang yang dijalankan kira-kira jam 11.30 pagi.

“Saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pasukan serbuan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan turut merampas 3.1 gram syabu daripada salah seorang suspek.

Sudirman berkata kesemua suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Polis akan terus merancang dan menjalankan operasi secara agresif dan berterusan untuk membanteras jenayah dadah ini daripada terus merebak di kawasan pinggir-pinggir bandar,” tegasnya.

Kesemua suspek dibawa ke IPD Kota Samarahan dan kini ditahan di lokap untuk siasatan lanjut.

Suara Sarawak