14 wakil MAKSAK Bintulu akan berentap di Samarahan 7 hingga 8 Mac ini

BINTULU: Seramai 14 pemain masing- masing tujuh lelaki dan wanita dipilih untuk mewakili Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Bintulu ke Kejohanan Petanque Berpasukan (Campuran) Antara Bahagian MAKSAK Peringkat Negeri Sarawak di Samarahan pada 7 hingga 8 Mac ini.

Sesi pemilihan sehari suntuk diadakan di Arena Petanque Jepak secara individu yang mana peserta dibahagikan kepada lapan kumpulan lelaki dan empat kumpulan wanita.

Setiausaha MAKSAK Bintulu Harun Hatta berkata, pemilihan itu adalah anjuran MAKSAK Bahagian Bintulu dengan kerjasama Persatuan Petanque Negeri Sarawak (PEPSAR) dan JK Riadah Jepak bagi memilih pemain-pemain berkelayakan untuk mewakili Bintulu ke pertandingan peringkat negeri di Samarahan.

Beliau berharap pemain yang terpilih bukan sahaja berpeluang membawa cabaran serta mengharumkan nama Bintulu tetapi pergi disebabkan minat dan sikap kesukanan yang tinggi di dalam diri pegawai masing masing.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat PEPSAR, Janudin Haji Ab. Rahman berkata, pemilihan pemain itu adalah untuk mencari pemain terbaik masing-masing tujuh pemain lelaki dan wanita yang akan mewakili Bintulu ke kejohanan peringkat negeri tersebut.

Pemilihan, katanya, dijalankan secara individu yang mana peserta dibahagikan kepada lapan kumpulan lelaki dan empat kumpulan wanita supaya pemilihan pemainnya lebih telus dan adil.

Para pemain telah menunjukkan kemahiran permainan masing-masing sehingga melayakkan mereka terpilih untuk mewakili pasukan MAKSAK Bintulu, katanya lagi.

Suara Sarawak