1,425 orang derma darah

MIRI: Sebanyak 52 pain darah berjaya dikumpul melalui penganjuran Kempen Derma Darah di sini, semalam.

Secara keseluruhan 1,425 orang telah pun menderma darah sepanjang kempen ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Program anjuran Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Miri itu dilakukan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengambilan Derma Darah dan Tabung Darah Hospital Miri.

Sebanyak 61 penderma menyertai program yang bermula pada jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari di Pusat Latihan BSMM.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengambilan Penderma Darah, Kaunselor Karambir Singh dalam satu kenyataan berkata, semakin ramai ibu bapa membawa anak-anak mereka untuk menderma darah.

“Saya mendapati trend positif, terdapat peningkatan jumlah ibu bapa yang membawa anak-anak mereka untuk sama-sama menderma darah.

“Saya berharap lebih ramai orang turut mengikuti trend tersebut pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, seramai 12 orang penderma darah baharu pada kempen kali ini.

“Hari ini adalah Kempen Derma Darah ke-49 di BSMM Miri sejak PKP dan 1,670 orang telah mendaftar, manakala 1,425 orang telah menderma darah setakat ini.

“Ini menunjukkan warga Miri wajar diberikan pujian atas bantuan yang disumbangkan dalam menyelamatkan nyawa yang memerlukan,” jelas Karambir.

Katanya lagi, Hospital Miri dan BSMM Miri juga telah melakukan usaha tambahan untuk menarik lebih ramai orang menderma darah.

“Sila datang dan menderma darah di sini pada minggu hadapan iaitu 15 dan 16 Ogos, bermula dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari,” ujar beliau.

Suara Sarawak