145 gelandangan diselamatkan

KUCHING: Sejumlah 145 gelandangan telah diselamatkan dan ditempatkan di pelbagai pusat perlindungan sementara yang disediakan oleh kerajaan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata mereka juga dibekalkan dengan makanan, khemah mudah alih, peralatan kebersihan dan beg tidur.

“Gelandangan adalah salah satu masalah sosial yang diberi tumpuan oleh kementerian saya.

“Untuk langkah jangka panjang, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan untuk mengurangkan masalah ini.

“Salah satu contoh yang baik adalah penubuhan Tempat Selamat Gelandangan (TSG) bermula dengan projek perintis di Sibu dengan peruntukan yang diluluskan sebanyak RM793,623,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Adun Bukit Assek, Irene Mary Chang Oi Ling dan Adun Dudong Datuk Tiong Thai King mengenai gelandangan di Sarawak sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, Fatimah berkata sejak 2016 sehingga Oktober tahun ini, kementeriannya dengan Jabatan Kebajikan dan rakan strategik telah menjalankan 153 operasi mengesan dan menyelamatkan gelandangan.

“Seramai 475 gelandangan telah dikesan. Sebanyak 62 kes disebabkan masalah keluarga, tiada tempat tinggal (29 kes), ketagihan alkohol (19 kes), kehilangan pekerjaan (17 kes), masalah mental (16 kes) dan lain-lain (19 kes).

Suara Sarawak